Thursday, December 9, 2010

Kebenaran dalam ketuanan Melayu

Petikan Rencana Utusan Malaysia (10/12/2010)

Hujung minggu lepas secara rasminya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan perang untuk menghapuskan konsep "ketuanan Melayu". Umpama meludah ke langit terkena ke muka sendiri, begitulah perumpamaan paling tepat untuk mendefinisi tokoh-tokoh utama PKR yang melaungkan semboyan perang itu.

Manakan tidak, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Timbalan Presiden PKR yang baru ditabal pula adalah setiausaha kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden UMNO.

Tidakkah ia suatu tindakan yang paradoks, manusia sama yang dahulunya melaungkan keprihatinan kepada konsep "ketuanan Melayu" malah pernah pada satu Mesyuarat Agung UMNO bersama-sama pemimpin UMNO yang lain bersumpah darah untuk memperjuangkan konsep "ketuanan Melayu". Kini orang yang sama membunyikan semboyan untuk menghapuskan konsep ciptaan mereka.

GMP mahu menyeru kepada rakan-rakan bangsa Cina dan India di Malaysia supaya duduk dan berfikir sejenak. Betul sekarang pemimpin-pemimpin ini nampak agresif memperjuangkan nasib bangsa anda. Namun, cuba anda semua fikir jika mereka sanggup menderhaka terhadap perjuangan bangsa sendiri, tidak mustahil mereka meninggalkan pula bangsa anda demi mengejar kuasa dan impian yang lain.

Khalayak terutama bangsa Cina dan India harus faham bahawa tidak boleh dinafikan Penasihat PKR mempunyai karisma tersendiri apabila berucap di atas pentas-pentas politik. Beliau begitu menguasai teknik dan taktik perhubungan awam.

Hakikatnya seorang pemimpin hebat bukan disukat dari segi persembahan beliau berucap di atas pentas politik. Ia bukan disukat dari segi kebolehan beliau mengucapkan janji-janji kosong. Ia juga bukan disukat dari segi gaya yang anggun. Itu bukan asas-asas pemimpin hebat, itu adalah asas seorang kasanova. Seorang pemimpin hebat terutama di dalam sebuah negara seperti Malaysia yang berbilang bangsa perlu wajib bercakap benar berdasarkan undang-undang yang diterimapakai negara ini.

Ini adalah kerana jika pemimpin Malaysia bersikap seolah-olah seperti sesumpah, maka hubungan di antara bangsa-bangsa di Malaysia akan menjadi tegang dan mengancam keselamatan kita semua.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemimpin wajib bercakap benar ? Bercakap benar dalam konteks kenegaraan Malaysia adalah menjunjung bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan wajib bagi pemimpin-pemimpin ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan selagi nyawa dikandung badan sehingga ke titisan darah terakhir.

Apakah kandungan Perlembagaan Persekutuan? Di antara asas penting Perlembagaan Persekutuan ialah di bawah Perkara 3, bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Di bawah Perkara 32 (1) bahawa Kepala Utama Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dilantik di antara Sultan-Sultan yang menganggotai Majlis Raja-Raja.

Di bawah Perkara 152, bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi Malaysia. Dan, di bawah Perkara 153, bahawa orang-orang Melayu di beri hak keistimewaan berbanding bangsa Cina dan India. Di samping itu, di bawah Perkara 89, terdapat peruntukan mengenai tanah Rezab Melayu dan lain-lain peruntukan yang melindungi orang-orang Melayu.

Jika diperhatikan kesemua Perkara-perkara yang membentuk teras Perlembagaan seperti yang tersebut di atas adalah bertunjangkan bangsa Melayu. Ia tidak boleh dipinda walaupun dengan undi 2/3 Parlimen kerana menurut Perkara 159 (5) ia memerlukan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu.

Mengapakah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk melindungi hak-hak Melayu? Perkara ini terjadi kerana semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (sebelum ditukar nama kepada Malaysia), Suruhanjaya Reid iaitu pihak yang bertanggungjawab menulis Perlembagaan Persekutuan, mengakui bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Kerana itulah juga namanya disebut sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Keseluruhan perkara-perkara yang diperincikan oleh Suruhanjaya Reid melalui Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi orang-orang Melayu sebenarnya adalah sebagai timbal balas kepada kesanggupan Raja-Raja Melayu memberikan kewarganegaraan secara jus soli kepada sejuta orang bangsa Cina dan India yang diambil sebagai pekerja oleh pihak British.

Secara dasarnya, para pekerja ini apabila habis kontrak bekerja maka mereka wajib dibawa balik oleh British ke negara masing-masing. Namun oleh kerana pada waktu itu, perang dunia kedua baru tamat dan negara-negara asal mereka tidak mahu menerima para pekerja ini kembali akibat kegawatan ekonomi selepas perang, maka pihak British mencari jalan untuk meninggalkan mereka di Tanah Melayu.

Sepatutnya, pihak British membawa kesemua pekerja ini ke England dan memberi kerakyatan British. Namun, hakikatnya British tidak mampu berbuat demikian kerana negara mereka juga rosak teruk akibat perang. Niat British di dalam perkara ini adalah jelas apabila mereka mendraf Malayan Union sebaik sahaja perang dunia kedua tamat.

Melalui Malayan Union British memaksa penduduk Tanah Melayu menerima bulat-bulat para pekerja berbangsa Cina dan India sebagai warganegara tanpa apa-apa balasan. Orang-orang Melayu membantah sekeras-kerasnya.

Akhirnya, apabila rundingan kemerdekaan di adakan dan orang-orang Melayu melalui UMNO memberikan syarat-syarat yang tertentu maka barulah para pekerja ini dapat diterima sebagai warganegara Tanah Melayu. Proses ini boleh didapati melalui Perjanjian Kemerdekaan 1957, di mana Raja-Raja Melayu menyerahkan kuasa de legist mereka kepada pihak British yang menjajah melalui kuasa de facto. Seterusnya, British menyerahkan pula kuasa ini kepada rakyat Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan dan pentadbiran Tanah Melayu. Kuasa-kuasa ini adalah termasuk kuasa memberi kerakyatan. Tanpa penyerahan kuasa oleh Raja-Raja Melayu, kewarganegaraan ini adalah mustahil diberi kepada para pekerja berbangsa Cina dan India.

Kami di GMP melakar kembali kenangan ini bukanlah kerana sengaja mahu mengapi atau mengeruhkan suasana harmoni di antara kaum Melayu, Cina dan India. Kami menulis perkara ini kerana ia adalah kebenaran. Kebenaran inilah yang dipegang oleh para pejuang ketiga-tiga bangsa semasa sama-sama membuat rundingan kemerdekaan. Ia adalah muktamad. Ini adalah kedudukannya selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada manusia yang dikenali sebagai Melayu di bumi bertuah ini.

Rakan-rakan bangsa Cina dan India. Apabila nenek moyang anda bersama-sama orang-orang Melayu melakukan rundingan kemerdekaan, mereka juga sudah melakukan rundingan bagi pihak anda. Iaitu antara lain jika mereka bersetuju untuk menjadi warganegara Tanah Melayu, maka orang-orang Melayu wajib menerima kewarganegaraan mereka seolah-olah mereka dilahirkan di Tanah Melayu atau di dalam bahasa latin di sebut jus soli.

Secara asasnya, apabila kewarganegaraan secara jus soli diberi maka secara automatik anda mempunyai hak untuk mengundi dan hak untuk mempunyai harta termasuk tanah kecuali tanah-tanah yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu direzabkan untuk orang-orang Melayu sahaja.

Nenek moyang anda juga telah mensyaratkan bahawa untuk mereka menerima menjadi warganegara Tanah Melayu, bahasa ibunda masing-masing hendaklah dikekalkan. Begitu juga dengan agama asal anda berserta dengan beberapa syarat lagi untuk melindungi hak-hak anda di sebuah negara asing jauh dari tempat kelahiran nenek moyang anda.

Kesemua perkara-perkara yang disyaratkan oleh nenek moyang anda sebelum mereka menerima kewarganegaraan Tanah Melayu adalah juga diperihalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3, 8, 11, 13 dan 152 dan ia juga adalah bersifat muktamad. Inilah juga adalah kebenaran. Orang-orang Melayu tidak pernah sedikit pun cuba meminda kedudukan dan hak-hak anda seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Konsep ketuanan Melayu adalah suatu moto yang diperkenalkan oleh UMNO untuk memberi semangat kepada orang-orang Melayu memajukan bangsa mereka. Ia juga adalah sebagai kata-kata hikmat untuk orang-orang Melayu sedar dan melindungi hak-hak mereka yang telah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tiada kena mengena dengan tuan dan hamba.

Ia adalah suatu moto yang tidak memberi apa-apa kesan dari segi perundangan sehingga anda semua dihambaabdikan di Tanah Melayu. Ini adalah kerana hak-hak anda telah dikunci kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah kebenarannya.

Oleh yang demikian, apabila PKR mahu berjuang untuk menghapuskan ketuanan Melayu maka mereka berbohong kepada anda semua kerana ia tidak wujud melainkan hanya sebagai moto.

Kecualilah jika sekiranya PKR berazam mahu menghapuskan hak-hak orang melayu seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara jujur, adakah anda berasa ia adil kepada orang-orang Melayu jika sekiranya hak-hak mereka dihapuskan sedangkan hak-hak anda masih tersemat kemas. Adakah anda semua berasa yakin sebagai orang Melayu tokoh-tokoh PKR yang melaungkan semboyan itu akan melakukannya.

Secara jujurnya lagi, melalui penerangan yang tertulis tadi adakah anda semua merasa yakin ia boleh dihapuskan dengan sebegitu senang tanpa apa-apa bantahan dari orang melayu. GMP merasa yakin jika ia mahu dilakukan maka pertumpahan darah akan berlaku dan kita semua akan hilang kedamaian yang selama ini kita kecapi. Semua kemajuan yang telah dicapai sekarang akan hilang dan sekali lagi kita semua akan mengambil masa yang lama untuk saling mempercayai sesama kaum seperti yang berlaku pada 13hb Mei, 1969.

Ini semua hanyalah suatu retorik ahli politik terdesak. Ia bukan sesuatu yang benar dan apabila ia datang dari seorang pemimpin utama maka kita semua semua wajar mempersoal kewarasan pemimpin itu seterusnya menolak ideologi melampau itu.

Hakikatnya, kaum-kaum di Malaysia telah sekian lama hidup harmoni berteraskan hak-hak mereka yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan biarkan keharmonian ini tergugat hanya kerana ada orang-orang tertentu mahu merebut kuasa.


Sunday, December 5, 2010

Artikel Utusan Malaysia Yg Sgt Menarik Untuk Di Baca

Apa ada dengan RM1 - seringgit?

Petikan Utusan Malaysia Ruangan Cuit Oleh Zaini Hassan Bertarikh 24 Nov 2010

HENTIKAN dulu cakap politik dan kebarangkalian tindakan repot polis yang boleh memeningkan. Jom kita teliti not seringgit, atau RM1 kita.
Teliti betul-betul wang kertas itu. Saya pun sambil menaip turut mengeluarkan not itu dan membelek-beleknya.
Ia berwarna biru. Di bahagian belakang ada gambar gunung Kinabalu, landskap tertinggi negara ini dan di Asia Tenggara. Wau bulan serta gambaran kepulauan nelayan dari arah laut turut terpapar di atas kertas itu.
Sebelum ini tiada siapa yang benar-benar membeleknya. Apalah sangat RM1. Mungkin ia hanya dibelek oleh pelancong yang baru pertama kali melihat not itu. Peniaga pun tak bimbang jika itu not palsu. Tiada apa yang istimewanya.
Nak kata ia menarik, biasa saja. Berbanding dengan rekaan matawang asing lain, mungkin nilai seringgit kita itu tidaklah hebat mana.
Itu dari segi rupa bentuknya. Bagaimana pula dengan nilainya? Denominasi seringgit itu dibentuk daripada mata desimal 100 sen. Dari nilai siling sekecil 5 sen, 10 sen, 50 sen ia boleh dicampur-campur membentuk RM1.
Kini Bank Negara Malaysia (BNM), autoriti yang mengesah lakukan wang ringgit di negara ini tidak lagi mengeluarkan wang siling 1 sen. Mungkin BNM ada alasan berbuat demikian. Difahamkan untuk mengeluarkan siling 1 sen kosnya ialah sekitar 20 sen? Oleh itu ia dihentikan pengeluaran. Jadi nilai wang kita hanya bermula dari siling 5 sen.
Dari segi ilmu hisab, kita sudah rugi 4 sen. Tapi 5 sen pun sudah jarang digunakan oleh pekedai. Oleh itu kita sudah rugi 5 sen.
Pekedai lazimnya akan mula mengira mulai 10 sen. Maka kita pengguna sudah rugi 9 sen!
Sering dulu jika harga gula naik 10 sen sekilogram, maka mamak-mamak stall akan menaikkan harga minuman kegemaran orang Malaysia, teh tarik dengan harga 10 sen segelas. Maka harga segelas teh tarik sekarang ialah RM1.20 sen.
Mamak (harap jangan saman saya kerana guna istilah ini) enggan menggunakan 5 sen untuk menaikkan harga minuman itu. Mereka lebih gemar memilih 10 sen. Entah kenapa saya pun tak tau.
Budaya menggunakan 1 sen sudah hilang di negara ini. Sepatutnya nilai RM1 ialah 100 sen dan setiap sen patut diambil kira. Dulu jika kita beli kasut Bata, harga mengikut pecahan sen-sen amat popular, begitu juga di McD dan bayar bil elektrik dan air. Kini semuanya dibulatkan kepada 5 sen dan 10 sen.
Nilai 100 sen itu sudah mengecil. Dalam suasana inflasi yang semakin ketara sekarang, walaupun BNM hanya melaporkan angka yang rendah, nilai RM1 sudah hampir tiada. Harga teh tarik melebihi RM1. Masuk tandas awam kini ialah 50 sen, dua orang RM1. Belanja budak sekolah sekurang-kurangnya RM3.
Jika BNM mahu menjimatkan kos pengeluaran 1 sen, pengguna juga yang tertekan dengan kos barangan, turut rugi dari segi nilai sen-sen itu.
Mungkin, jika nilai 1 sen itu dibudayakan semula - seperti di Amerika Syarikat yang masih aktif menggunakan Penny (1 sen), Nickel (5 sen), Dime (10 sen), Quarter (25 sen), Half dollar (50 sen) - maka nilai RM1 kita akan lebih bernilai lagi.
Pada masa itu mamak mungkin akan memikirkan untuk menaikkan teh tarik hanya kepada RM1.21 sahaja berbanding RM1.30 sekarang.
Walaupun cadangan ini nampak bodoh dan mengarut kerana nilai 1 sen sudah dimansuhkan, kita berharap BNM boleh memikirkan sesuatu atau semula.
Rakyat kini sebenarnya mulai gelisah kerana nilai mata wang mereka semakin mengecil. Jika dulu orang kampung boleh berbelanja dapur dan petrol motosikal sekitar RM300 sebulan, kini nilainya sudah menjadi RM250 dan ke bawah dan ke bawah.
Ia lebih memeritkan bagi mereka yang tinggal di bandar dan kota raya. Gaji RM2,500 ialah miskin bandar. Tapi majikan masih kedekut dan amat berkira untuk menaikkan gaji. Gaji yang diperoleh tidak setaraf dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kelok gaji dan kelok kos barang dan perkhidmatan tidak seimbang.
Kita berharap pakar-pakar ekonomi negara dapat memikirkan sesuatu mengenainya. Jika ke Britain nilai 1 Pound itu masih cukup besar, tapi RM1 kita sudah terlalu kecil.
Bagi saya yang minum teh tarik bersama kawan malam tadi, nilai RM1 hanya untuk disedekahkan kepada orang buta yang silih berganti ke kedai-kedai makan sekitar ibu kota.
RM1 sudah mulai tidak dipedulikan. Tapi bagi orang buta yang mengutip RM1 bagi setiap meja - dan berjaya melakukannya ke atas beratus meja setiap malam - mereka itulah sebenarnya yang mewah.
Dan dalam keadaan ekonomi baik atau tidak seperti sekarang, jumlah orang buta (dan buat-buat buta) seperti itu semakin hari semakin ramai...